KUALA MUDA: Kedah catat 1,016 kes Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (Hand, Foot and Mouth Disease), kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan merangkap Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, YB Dato’ Dr Mohd Hayati Bin Othman.
Kes kumulatif di negeri tersebut meningkat dengan kadar 46.6 peratus berbanding tahun 2019 di mana peningkatan kes HFMD adalah ketara bermula pada Minggu Epidemiologi ke-13.
Pada Minggu Epidemiologi ke-18 (1 hingga 7 Mei 2022), sebanyak 102 kes HFMD direkodkan di mana bilangan kes tertinggi didaftarkan di daerah Kuala Muda dengan 29 kes, Kota Setar dengan 22 Kes dan Padang Terap dengan 17 kes.
Menurut Dato’ Dr Mohd Hayati, majoriti jangkitan menunjukkan gejala ringan (mild) seperti demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan kaki, mulut dan lidah.
Selain itu, hampir keseluruhan pesakit yang menghidap HFMD pulih tanpa memerlukan rawatan khusus dalam masa tujuh ke sepuluh hari.
Penyakit HFMD berpunca daripada jangkitan pelbagai jenis virus terutamanya virus Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) di mana virus-virus ini merebak melalui kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit.
Bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti jangkitan otak (encephalitis), jangkitan paru-paru (pneumonitis) dan jangkitan otot jantung (myocarditis).
Justeru Jabatn Kesihatan Negeri Kedah ingin menasihati orang ramai terutamanya mereka yang mempunyai anak-anak kecil untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko dijangkiti.
Ibu bapa juga dinasihati untuk membawa anak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan dan tidak membawa anak-anak ke tempat awam yang sesak serta tidak menghantar anak yang menunjukkan gejala jangkitan ke pusat jagaan atau sekolah.