Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menjalankan misi bantuan pasca banjir di Daerah Klang yang dijadikan sebagai kawasan angkat bagi membantu mempercepatkan proses pembersihan pasca banjir.
MOTAC bertanggungjawab menggerakkan misi bantuan banjir ke kawasan Taman Sri Muda dalam Daerah Klang yang terjejas teruk akibat bencana banjir.

Menurut Ketua Setiausaha MOTAC, YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat, seramai 150 kakitangan serta agensi di bawah MOTAC yang terlibat secara sukarelawan dalam misi bantuan khas kali ini termasuklah pasukan Voluntourism telah membantu kerja-kerja pembersihan rumah mangsa banjir.
Sebelum ini Kumpulan Misi Bantuan MOTAC telah beberapa kali menjalankan misi bantuan pasca banjir ke kawasan tersebut, namun misi ini merupakan misi pertama yang dijalankan MOTAC selepas kawasan tersebut dijadikan sebagai kawasan angkat.

Bagi merancang misi pasca banjir seterusnya, MOTAC dibantu oleh Pejabat Tanah dan Daerah Klang serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sedang mengumpul maklumat mengenai jumlah rumah dan keluarga di kawasan angkat tersebut yang masih memerlukan bantuan sukarelawan untuk kerja-kerja pembersihan.
YBhg. Datuk Wira Dr. Noor Zari Hamat turut memaklumkan bahawa misi bantuan pasca banjir turut digerakkan ke beberapa kawasan lain yang terjejas teruk akibat banjir di sekitar negeri Selangor dan Pahang.
Setakat semalam, sekurang-kurangnya 30 Misi Pasca Banjir yang meilbatkan 1,000 sukarelawan telah dijalankan oleh MOTAC.
SUMBER FOTO: LAMAN TWITTER RASMI MBSA (@sacitycouncil)