KUALA LUMPUR: Bermula 4 Julai 2022 (Isnin), warganegara Malaysia yang bakal pulang ke negara ini tidak lagi perlu mengisi ciri-ciri (feature) Pas Pengembara (Traveller’s Pass) dalam aplikasi MySejahtera mereka.
Menurut Menteri Kesihatan Malaysia, YB Khairy Jamaluddin, pemansuhan keperluan mengisi Pas Pengembara ini dilaksanakan bagi memudahkan para warganegara kembali ke Malaysia.
Di samping itu, beliau turut berkata bahawa keadaan sistem kesihatan negara buat masa ini berada pada tahap yang baik dan memuaskan.
Bagi memberi kelonggaran kepada kumpulan-kumpulan lain seperti pemegang-pemegang pas sosial, pas pelajar serta penduduk tetap, pemansuhan ini akan dijalankan secara berperingkat yang akan diumumkan kelak.
Beliau turut menambah bahawa buat fasa pemulaan pemansuhan keperluan mengisi Pas Pengembara hanya melibatkan warganegara, namun ciri-ciri Pas Pengembara masih terpapar di aplikasi MySejahtera dan perlu dilengkapkan oleh pengembara bukan warganegara Malaysia sebelum memasuki negara ini.
Ciri-ciri Pas Pengembara tersebut perlu diisi oleh pengembara luar bagi membantu memantau kes-kes Covid serta membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan pemantauan rapi ke atas penyakit berjangkit lain dari luar negara seperti cacar monyet.