SEREMBAN – Negeri Sembilan menemui satu lagi kluster baharu wabak COVID-19 melibatkan institusi pendidikan , menjadikan kluster pendidikan keseluruhan yang dikesan di negeri itu kepada tiga kluster , setakat ini .
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan , Alam Sekitar , Koperasi dan Kepenggunaan negeri , S Veerapan , berkata , kluster terbaru ini ialah Kluster Bukit Chengkau Ulu di Rembau , membabitkan 72 kes positif COVID-19 di sebuah sekolah tahfiz yang dilaporkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis (CPRC) , semalam .
Katanya , punca kluster berkenaan merebak masih berada di bawah siasatan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) , dan keputusannya akan diumumkan nanti .
“Satu lagi kluster yang diumumkan di negeri ini hari ini ialah Kluster Tembok Jelebu 2 membabitkan dua kes .
“Setakat semalam , terdapat 218 kes baharu positif COVID-19 yang telah dilaporkan di negeri ini ,” katanya , hari ini .
Beliau , yang juga menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repah berkata , terdapat dua kes kematian membabitkan pesakit positif COVID-19 telah dilaporkan , semalam .
“Secara keseluruhannya terdapat 11 kluster (tempatan) yang masih belum diisytiharkan tamat di Negeri Sembilan ,” tambahnya lagi .
Sebelum ini , dua kluster pendidikan telah dilaporkan di negeri ini , iaitu Kluster Jalan Sikamat membabitkan Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Munawir dan Kluster Jalan Ban Aik 2 membabitkan Sekolah Menengah Agama Nilai .
Meskipun begitu , Menteri Kesihatan , Khairy Jamaluddin menegaskan tiada keperluan untuk menutup sekolah berasrama di negara ini , walaupun terdapat peningkatan kluster COVID-19 di sekolah berkenaan , memandangkan kebanyakan kes hanya membabitkan gejala ringan ataupun tiada gejala .
Khairy berkata , penutupan sekolah dilihat sebagai langkah ke belakang memandangkan peratusan vaksinasi remaja sudah mencapai 90 peratus .