KUALA LUMPUR: Penyanyi popular menerusi lagu Apo Kono Eh Jang iaitu Datin Mastura Ismail meninggal dunia akibat kanser ovari pada usia 65 tahun.
Beliau telah menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Cheras Idaman pada jam 8:40 malam, Rabu.
Pemergian Allahyarham Mastura Ismail telah disahkan oleh anak saudaranya iaitu Oja atau nama sebenarnya Daninaz Huza Daud yang juga merupakan seorang penyanyi.
Oja berkata bahawa ibu saudaranya itu dibawa pulang ke kediamannya dari Institut Kanser Negara (IKN) dalam keadaan tidak sedarkan diri setelah dimasukkan ke hospital tiga hari sebelumnya.
Sebelum disahkan menghidapi kanser ovari, Allahyarham sering mengadu sakit pada bahagian abdomen, namun tidak mendapatkan sebarang rawatan selain rawatan kampung.
Oja turut menyatakan bahawa penyanyi tersebut kerap dimasukkan ke hospital sejak tahun lalu sebelum disahkan menghidapi kanser ovari tahap empat.
Ekoran keadaan tubuh Allahyarham yang sudah terlalu lemah, doktor tidak menyarankan beliau menjalani rawatan kemoterapi.
Bagamanapun, Allahyarham pernah menjalani pembedahan membuang cecair pada bahagian abdomen beberapa kali.
Jenazah Allahyarham Mastura dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Taman Rakan Cheras sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long.

Allahyarham terkenal dengan lagu duet dalam loghat Negeri Sembilan, Apo Kono Eh Jang bergandingan dengan Ally Noor sekitar tahun 1980-an dan pemergian beliau merupakan satu lagi kehilangan permata seni negara.