PUTRAJAYA: Pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang (termasuk MPV dan SUV) pemasangan tempatan dan 50 peratus pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang import (CBU) yang diperkenalkan oleh kerajaan sejak 15 Jun 2020 akan berakhir pada 30 Jun 2022.
Menurut Menteri Kewangan Malaysia, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, sejumlah RM4.7 bilion pengecualian cukai jualan telah dimanfaatkan oleh rakyat dan sebanyak 868, 422 unit kenderaan telah dijual setakat ini.
Inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini merupakan sebuah langkah yang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mengekal dan meningkatkan momentum permintaan dan jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Walaupun sektor automotive telah beroperasi semula, masih terdapat sejumlah permintaan yang masih belum dapat dipenuhi lantaran gangguan yang berlaku kepada rantai bekalan global dan juga masalah kekurangan cip mikro semikonduktor yang digunakan secara meluas dalam beberapa industri termasuk automotive.
Justeru, sebanyak 264, 000 unit kenderaan yang ditempah dalam tempoh pengecualian masih belum siap pemasangan dan tidak dapat dibekalkan kepada pembeli.
Ekoran permasalahan ini, tempoh pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi unit-unit kenderaan tersebut dilanjutkan sehingga 31 Mac 2023 bagi membolehkan pembeli yang membuat tempahan sehingga 30 Jun 2022 untuk terus menikmati insentif pengecualian cukai jualan ini.