KUALA LUMPUR, 20 Jun 2022: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah sedang menjalani pemeriksaan serta pemantauan pakar perubatan di sebuah hospital, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin.
Dalam kenyataan Fadil berkata, ia susulan Agong berada dalam keadaan gering di bahagian kaki.
“Kesihatan baginda secara amnya adalah dalam keadaan baik dan tidak membimbangkan,” katanya.
Sehubungan itu, Fadil berkata, semua program baginda yang dijadualkan berlangsung hari ini dan dalam masa terdekat ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Katanya, Sultan Abdullah juga akan kembali bersemayam di Istana Negara dalam masa terdekat setelah selesai menjalani rawatan.
“Seluruh rakyat diseru untuk mendoakan baginda dikurniakan kesembuhan segera dan keafiatan yang berpanjangan,” katanya.