PUTRAJAYA: Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi kanak-kanak berusia 5 tahun hingga 11 tahun atau PICKids akan dibuka selama lima hari bermula 20 Jun sehingga 24 Jun 2022 sempena Sambutan Minggu Imunisasi Peringkat Kebangsaan Tahun 2022.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr Noor Azmi bin Ghazali dalam kenyataan media bertarikh 19 Jun 2022 berkata bahawa pembukaan vaksinasi ini adalah bagi meraikan ibu bapa yang terlepas peluang untuk mendapatkan vaksin COVID-19 bagi anak-anak mereka sebelum ini.
Beliau turut berkata bahawa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut berasa prihatin atas keselamatan kanak-kanak daripada penyakit cegahan vaksin juga merupakan tujuan pembukaan vaksinasi tersebut.
Ibu bapa yang ingin mendapatkan vaksin bagi anak-anak mereka boleh ke mana-mana klinik kesihatan di bawah KKM tanpa perlu membuat janji temu dalam tempoh lima hari tersebut.
Bagaimanapun, pemberian vaksin bergantung kepada stok vaksin yang terdapat di sesebuah fasiliti dan jika stok vaksin tidak mencukupi untuk hari tertentu, ibi bapa perlulah membawa anak mereka untuk mendapatkan vaksin pada hari seterusnya.
KKM mengalu-alukan ibu bapa yang baru mengetahui mengenai vaksinasi COVID-19 atau baru berhasrat membenarkan anak divaksinasi agar tidak melepaskan peluang ini.
Ibu bapa bagi kanak-kanak yang akan mencapai umur 5 tahun boleh membuat tempahan janji temu vaksinasi mengikut tarikh dan tempat vaksinasi pilihan melalui aplikasi MySejahtera.