Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Banjir atau Stormwater Management and Road Tunnel (SMART Tunnel) merupakan sebuah terowong lencongan air yang dicetus oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau telah mencetuskan idea pembinaan terowong lencongan air ini di bawah Dasar Pembangunan Nasional pada tahun 1991.
Terowong ini berfungsi untuk mengelakkan banjir berlaku di kawasan yang padat seperti Kuala Lumpur.
Sewaktu banjir melanda beberapa hari yang lalu ekoran hujan yang berterusan, terowong ini telah berjaya melencongkan air banjir sebanyak 5 juta meter padu daripada memasuki Kuala Lumpur.
Menurut Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, operasi lencongan air banjir mula dijalankan pada jam 7:45 malam Sabtu lalu dan mengambil masa selama 22 jam.
Beliau turut menjelaskan bahawa operasi lencongan air banjir kali ini merekodkan masa yang terpanjang untuk proses lencongan air dijalankan selama lapan kali operasi mod 4 berlaku sejak tahun 2007.
Terowong yang mula dibina pada 2003 dan dibuka untuk kegunaan awam pada 2007 ini merupakan terowong lencongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia.
Tujuan utama pembinaan terowong ini adalah untuk mengatasi masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang jalan Sungai Besi dan jejambat Loke Yew, Pudu.
Hasil cetusan idea Tun M berjaya mengelakkan bandar Kuala Lumpur daripada ditenggelami air ketika bencana banjir berlaku.