GELUGOR: Universiti Sains Malaysia (USM) secara rasminya melancarkan penjualan nombor pendaftaran khas USM 1 – USM 9999 hari ini.
Dalam memilih nombor pendaftaran khas universiti tersebut, USM berbesar hati mengekalkan kombinasi huruf USM bagi mewakili Universiti Sains Malaysia.
Pihak USM juga telah membuka bidaan bagi plat khas bernombor USM 1 – USM 9999 bermula hari ini dan menyeru agar seluruh warga dan alumni USM untuk memberi semangat dan sokongan padu dengan menyertai bidaan tersebut.
Bidaan boleh dibuat melalui aplikasi carplates.my yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store bagi pengguna android dan Apple App Store bagi pengguna iOS.
Bidaan boleh dimulakan dengan harga serendah RM250 bagi empat digit nombor pendaftaran, namun bergantung kepada nilai yang telah ditetapkan di dalam sistem bidaan.
Tempoh bagi proses bidaan nombor pendaftaran khas USM telah ditetapkan bermula hari ini, 17 Jun 2022 dan berakhir pada 20 Jun 2022 bagi siri nombor pendaftaran khas USM 1 hingga USM 99 manakala tempoh bidaan bagi siri nombor pendaftaran khas USM 9000 hingga USM 9999 berlangsung pada 17 Jun 2022 hingga 29 Jun 2022.

Dalam sebuah kenyataan media, USM berkata bahawa dana yang diperolehi daripada bidaan nombor pendaftaran khas tersebut akan digunakan bagi tujuan mempertingkatkan kerja-kerja penyelidikan yang sedang giat dijalankan.
SUMBER FOTO: LAMAN FACEBOOK RASMI UNIVERSITI SAINS MALAYSIA