JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah mengadakan satu Mesyuarat Khas yang diketuai oleh Datuk Abdul Ghani Salleh hari ini dan menetapkan beberapa tarikh penting yang berkaitan dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tarikh-tarikh yang ditetapkan adalah Tarikh Keluar Writ iatu pada 9 Februari 2022, Hari Penamaan Calon yang ditetapkan pada 26 Februari 2022, Hari Mengundi Awal iaitu pada 8 Mac 2022 dan Hari Mengundi yang ditetapkan pada 12 Mac 2022.
Selain itu, tempoh berkempen sempena PRN Johor telah ditetapkan selama 14 hari bermula pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 26 Februari 2022 sehingga jam 11:59 malam, 11 Mac 2022.
Bagi pengundi kategori 1A yang melibatkan Petugas Pilihan Raya, Ahli/Pegawai SPR, Anggota Polis, Anggota Tentera dan Petugas Media, tarikh permohonan undi pos telah dibuka pada 9 Februari 2022 hingga 24 Februari 2022.
Permohonan undi pos bagi pengundi kategori Borang 1B iaitu mereka yang merupakan warganegara Malaysia yang berada di luar negara dan juga kategori Borang 1C yang melibatkan 9 agensi dalam sector keselamatan dan kesihatan pula telah dibuka bermula 9 Februari 2022 hingga 18 Februari 2022.
Permohonan undi pos bagi kategori 1B dan 1C boleh dibuat secara dalam talian di https://myspr.spr.gov.my/.
SPR menasihatkan agar permohonan pengundi membuat permohonan lebih awal setelah tarikh permohonan dibuka bagi mengelakkan berlaku sebarang kesulitan.
Bagi PRN Johor, sebanyak 1,021 buah pusat mengundi biasa yang mempunyai 4,638 saluran mengundi dan 63 pusat mengundi awal yang mengandungi 82 saluran mengundi akan digunakan.