KENYATAAN MEDIA
UMNO TEGASKAN PERIKATAN NASIONAL TELAH TIADA MAJORITI
Kenyataan Perdana Menteri dalam Perutusan Khas mendakwa Kerajaan
masih mempunyai majoriti adalah tidak benar.
Sebelum ini Perikatan Nasional hanya mempunyai 114 Ahli Parlimen yang
menyokong.
Saya telah mempersembahkan warkah yang melampirkan lapan (8) Surat
Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di
Pertuan Agong pada 30 Julai 2021, bagi menzahirkan penarikan sokongan
terhadap Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin Md Yasin sebagai Perdana Menteri. Ini
cukup untuk menunjukkan kepimpinan beliau sudah hilang majoriti, biarpun
sebenarnya jumlah berkenaan melebihi daripada itu.
Setelah Majlis Kerja Tertinggi membuat ketetapan mutakhir pada 3 Ogos 2021,
bagi menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional dan Perdana
Menteri, atas asas mahu berpihak kepada KDYMM Yang di-Pertuan Agong,
jumlah Surat Akuan Ahli-Ahli Parlimen UMNO telah bertambah lagi.
Pada hari ini saya telah mengutus warkah kepada KDYMM Yang di-Pertuan
Agong bagi mempersembahkan Surat Akuan tambahan sebagai lanjutan
warkah terdahulu.
UMNO mencabar Kerajaan untuk segera memanggil Sidang Khas Parlimen
untuk membuktikan Perdana Menteri masih mempunyai majoriti tanpa
menunggu sehingga Persidangan Parlimen pada bulan September.
AHMAD ZAHID BIN HAMIDI
4 Ogos 2021