JOHOR BAHRU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengesahkan penyertaan parti politik tersebut dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac 2022 akan datang.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata bahawa penyertaan parti politik tersebut untuk bertanding dalam PRN Johor adalah untuk memberi peluang kepada pengundi untuk membuat pilihan mereka sendiri.
Ketika Majlis Pelancaran Parti WARISAN Negeri Johor semalam, beliau berkata bahawa rakyat sendiri yang akan menentukan perubahan kerajaan yang mereka inginkan biarpun pelbagai parti politik yang ditubuhkan di Malaysia.
WARISAN akan bertanding secara solo pada PRN Johor dan berkenaan keputusan tersebut, Mohd. Shafie berkata bahawa beliau pernah bekerjasama dengan parti politik lain dan sudah peka akan kancah politik negara.
Ketika majlis pelancaran tersebut berlangsung, beliau turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi WARISAN Negeri Johor.
Mohd. Shafie turut menegaskan bahawa sudah tiba masa untuk tidak melibatkan kad perkauman dan agama dalam politik kerana negara ini bukan milik satu kaum sahaja, namun sebaliknya negara ini adalah milik semua kaum.
Turut hadir ke majlis tersebut ialah Naib Presiden WARISAN, Datuk Junz Wong, Ketua Koordinator Warisan Johor, Suhaimi Salleh dan dua Koordinator Johor iaitu Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.
Ketika majlis pelancaran itu berlangsung, Majlis Sambutan Tahun Baru Cina turut diraikan dalam majlis yang sama di Taman Sutera.
SUMBER FOTO: FACEBOOK RASMI DATUK SERI MOHD SHAFIE APDAL