JOHOR BAHRU: Menjunjung Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor berkaitan penambahbaikan S.O.P di masjid dan surau telah diperkenankan.
Antara penambahbaikan S.O.P yang akan dilaksanakan adalah Program pengimarahan yang melibatkan kehadiran yang ramai seperti kuliah perdana, forum perdana, hendaklah dihadkan kehadirannya kepada 1/3 kapasiti bangunan masjid dan surau.
Selain itu, Jawatankuasa masjid dan surau hendaklah mengenal pasti Jemaah yang baru pulang dari luar negara supaya Jemaah tersebut mematuhi S.O.P kuarantin.
Masjid dan surau yang menggunakan penghawa dingin juga hendaklah membuka beberapa tingkap untuk aliran pengudaraan selain pengimbas suhu dan buku daftar atau My Sejahtera perlu dikekalkan.
Malah, Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Kesihatan Negeri Johor hendaklah membuat pemantauan S.O.P ke atas masjid dan surau. Masjid dan surau yang didapati melanggar S.O.P akan ditutup.
Menurut kenyataan, perubahan ini akan berkuatkuasa mulai hari Jumaat (18 Feb) sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor.