

KUALA LUMPUR, 15 Julai 2025 – Dalam usaha memperkukuh pemeliharaan, pengembangan dan penyebaran seni budaya dan warisan negara selaras dengan aspirasi pendigitalan negara, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) hari ini telah melancarkan Portal Digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Majlis penuh bersejarah ini berlangsung di The Glass House, Bangsar, Kuala Lumpur, dengan kehadiran para penggiat seni, wakil media, agensi kerajaan dan pemain industri kreatif tempatan.


Portal Digital JKKN yang dibangunkan secara komprehensif ini terdiri daripada dua komponen utama, iaitu Portal Pemetaan Budaya dan Portal Rumah Seni JKKN, yang dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat, penyelidik, penggiat seni serta pihak industri untuk mendapatkan akses lebih mudah kepada maklumat, bahan rujukan direktori produk dan perkhidmatan mengikut kategori dan program industri seni budaya.


Portal Pemetaan Budaya telah dibangunkan sejak tahun 2015 sebagai pangkalan data bersepadu yang menghimpunkan pelbagai kandungan berkaitan seni, budaya dan warisan Malaysia. Melalui platform ini, pengguna boleh mengakses koleksi artikel ilmiah, gambar dokumentasi, video persembahan serta maklumat etnografi secara percuma. Sehingga kini, portal ini telah mencatatkan lebih 4.74 juta pelayaran sejak mula diwujudkan, dengan 60,879 pelayar pada tahun 2024 dan 24,114 pelayar setakat pertengahan 2025. Jumlah ini menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia semakin menghargai sumber digital sebagai medium pembelajaran dan rujukan seni budaya.
Antara kandungan yang menjadi tumpuan dalam Portal Pemetaan Budaya termasuklah 535 artikel yang merangkumi pelbagai tema seperti adat resam, permainan tradisional, seni persembahan, pakaian tradisional, seni pertahankan diri dan amalan budaya masyarakat pelbagai kaum. Selain itu, portal ini turut memuatkan 2,683 foto pegun yang mendokumentasi kepelbagaian warisan visual, serta 194 video persembahan seni yang memberi peluang kepada khalayak untuk menikmati seni tempatan secara maya.
Sementara itu, Portal Rumah Seni JKKN diwujudkan pada tahun 2022 merupakan sistem pangkalan data industri seni budaya yang menyediakan informasi dan perkhidmatan kepada warga industri seni budaya. Ia merangkumi pendaftaran profil dalam direktori perkhidmatan dan produk industri seni budaya oleh penggiat seni, kumpulan, persatuan dan syarikat seni berdaftar mengikut 13 kategori antaranya Tari, Tetaer, Muzik, Pengurusan Pentas dan Permainan Tradisional. Portal ini turut menyediakan ruang video promosi oleh JKKN, ruang promosi program oleh penggiat seni / organisasi seni budaya, serta perkhidmatan tiket digital. Selain itu, portal ini juga menyediakan permohonan Insentif Seni dalam talian kepada NGO seni budaya. Bagi yang menjadi sukarelawan belia juga boleh memohon untuk menyertai Skuad Budaya JKKN. Sehingga 30 Jun 2025, portal ini telah mencatatkan statistik 29,739 pelawat pada tahun 2024 dan 25,826 pelawat pada tahun 2025, dengan sejumlah 1,098 profil berdaftar merangkumi Penggiat Seni, Kumpulan, Persatuan dan Syarikat seni budaya.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, bersama YBrs. Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.
Dalam ucapannya, YBhg. Dato’ Mohd Yusri menegaskan bahawa pelancaran portal ini adalah seiring dengan matlamat kerajaan untuk mempercepat transformasi digital sektor budaya negara:
“Pelancaran Portal Digital Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara pada hari ini merupakan satu inisiatif strategik yang bukan sahaja berfungsi sebagai pangkalan data seni dan budaya, malah menjadi platform interaktif yang mampu merapatkan jurang antara masyarakat dengan warisan kita. Portal ini membolehkan masyarakat mengakses maklumat berkualiti secara lebih inklusif, pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, sekaligus mengangkat seni budaya Malaysia ke persada global.”
Inisiatif ini juga dilihat sebagai langkah proaktif bagi mendepani cabaran era digital, termasuk perubahan pola tingkah laku masyarakat yang lebih cenderung kepada kandungan atas talian, serta keperluan mendesak untuk memelihara khazanah budaya dalam bentuk digital yang lestari.
JKKN akan terus memantapkan usaha memperkasa komuniti penggiat seni dengan menyediakan lebih banyak peluang promosi, latihan kapasiti digital dan sokongan teknikal. Portal Rumah Seni JKKN khususnya dijangka berkembang sebagai pusat informasi untuk pemain industri pada masa hadapan.
Untuk maklumat lanjut mengenai portal dan program berkaitan, orang ramai boleh melayari laman media sosial rasmi JKKN menerusi pautan:
www.facebook.com/mysenibudaya.
Terima kasih
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara



