30 OKTOBER 2021: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan Kerjasama Persatuan Pekerja Seni dan Warisan Anak-Anak Kelantan menganjurkan Program Merakyatkan Seni Budaya Pengkalan Datu sempena lawatan kerja YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri ke Kelantan selama dua hari.
Dalam program yang berlangsung di Pasar Terapung Resort Cerana Villa ini, YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM85,000 kepada 31 penerima individu dan kumpulan yang terdiri daripada kalangan penggiat seni budaya di Kelantan.
Beberapa penerima sumbangan
YB Dato’ Sri Hajah Nancy dalam ucapan perasmiannya berkata, sumbangan yang diterima oleh beberapa individu dan kumpulan dalam kalangan penggiat seni tersebut merupakan pembakar semangat setelah hampir dua tahun tidak dapat mengadakan sebarang aktiviti seni budaya secara fizikal akibat wabak COVID-19.
Tambah beliau, negeri Kelantan bertuah kerana memiliki pelbagai kesenian tradisional yang unik dan masih diteruskan seperti makyung, wayang kulit, menorah, gasing uri dan wau bulan.
Beberapa penerima sumbangan
“Saya amat berharap, semua pihak termasuk penggiat seni dan komuniti setempat memainkan peranan membantu Kementerian dan JKKN dalam memulihara dan mengembangkan seni budaya warisan nenek moyang ini. Generasi muda juga boleh membantu dalam mempromosikan seni budaya Kelantan kepada masyarakat antarabangsa dengan memanfaatkan media sosial dan kemahiran digital,” kata YB Dato’ Sri Hajah Nancy di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha yang dibuat oleh pihak pengurusan Pasar Terapung Cerana Villa Kota Pengkalan Datu yang telah bekerjasama dengan komuniti setempat dan jabatan kerajaan bagi menghidupkan destinasi tumpuan pelancongan yang bukan sahaja menawarkan kemudahan penginapan dan makan minum, bahkan menjadikan aktiviti seni budaya masyarakat setempat sebagai faktor tarikan pelancong.
Program Merakyatkan Seni Budaya yang berlangsung pada hari ini turut melibatkan pengisian acara sambutan Rebana Ubi dan Kertok serta diserikan dengan persembahan nyanyian, silat tari dan dikir barat oleh penggiat seni budaya Kelantan yang diselaraskan oleh JKKN Kelantan.
Beberapa persembahan ketika program berlangsung