KUALA LUMPUR: Bermula 8 Mei 2022 (Ahad), kesemua 123 buah cawangan Lembaga Tabung Haji (TH) di seluruh negara akan beroperasi agar bakal jemaah haji boleh menjawab surat tawaran menunaikan ibadah haji.
Pemakluman waktu operasi cawangan TH yang akan bermula semula esok dinyatakan dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini ekoran pengumuman TH untuk melanjutkan tarikh menjawab surat tawaran menunaikan haji kepada 9 Mei 2022 (Isnin).
Menurut Pemangku Pengarah Eksekutif Operasi TH iaitu Mohamed Ameen Abdul Wahab, surat terima tawaran haij, pasport antarabangsa serta buku rekod rawatan setelah pemeriksaan kesihatan dibuat boleh dihantar ke mana-mana pejabat cawangan yang beroperasi dari pukul 8:45 pagi sehingga 4 petang oleh bakal haji bagi Musim Haji 1443H/2022M.
TH dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata bahawa keputusan tersebut dibuat bagi memudahkan dan melancarkan urusan bakal jemaah haji walaupun hari Ahad merupakan hari cuti di kebanyakan negeri.
Mereka juga berharap bakal jemaah haji dan juga pendeposit dapat memanfaatkan peluang ini di samping mendapatkan perkhidmatan simpanan dan pengeluaran serta penukaran status akaun kanak-kaank kepada akaun dewasa.
Bagi mendapatkan maklumat dan mengajukan soalan, boleh hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian +603 – 6207 1919; Faks: +603 – 7728 4959 dan Emel: thinfo@lth.gov.my.