KUALA LUMPUR -PM tunai solat sunat Aidiladha bersama 20,000 jemaah di Masjid Putra, Putrajaya
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya pada Sabtu.
Beliau tiba bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pada jam 7.56 pagi.
Ketibaan mereka disambut oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, sebelum memasuki dewan utama masjid.
Anwar kemudian bertakbir raya bersama kira-kira 20,000 jemaah sebelum menunaikan solat sunat Aidiladha yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra, Muhamad Zakuwa Rodzali.
Perdana Menteri turut mendengar bacaan khutbah Aidiladha bertajuk ‘Korban dan Semangat Kebersamaan’ yang disampaikan oleh Muhamad Zakuwa.
Khutbah tersebut menekankan kepentingan ibadah korban dalam mendidik sikap kepedulian terhadap orang sekeliling serta melatih amalan bersedekah dan menghindarkan diri daripada sifat tamak.
Selepas selesai khutbah Aidiladha, Anwar turut berkesempatan menyantuni dan bersalaman dengan para jemaah di masjid berkenaan.