13 Oktober 2021 – Susulan pengumuman kerajaan berkaitan kebenaran merentas negeri berkuatkuasa mulai 11 Oktober 2021 dan beberapa kelonggaran tambahan baharu di bawah fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) ingin memaklumkan bahawa syarikat/premis perniagaan di bawah sub sektor pelancongan dan kebudayaan adalah dibenarkan beroperasi tanpa membuat permohonan melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS).
Kebenaran ini walau bagaimanapun tertakluk kepada syarat lengkap vaksinasi (2 dos) bagi semua pekerja dan berdasarkan Standard Operating Procedures (SOP) yang ketat. Setiap syarikat/premis perniagaan perlu mempamerkan salinan sijil Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) terkini dan lesen perniagaan premis daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang masih sah.
Justeru, pihak industri juga dipohon untuk memberikan kerjasama bagi memastikan pematuhan terhadap SOP dan lain-lain arahan kerajaan yang dikeluarkan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari semasa ke semasa. Setiap syarikat/premis perniagaan perlu memastikan jumlah pekerja tidak melebihi kapasiti maksimum yang dibenarkan oleh kerajaan.
MOTAC ingin menegaskan bahawa pihak industri bertanggungjawab sepenuhnya untuk mematuhi syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Kompaun kesalahan selaras dengan Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit [Akta 342] akan dikenakan jika gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
#ComingBackStronger
#KeluargaMalaysia
#BekerjaUntukRakyat