Sejak 30 tahun lalu, bermula dengan Akademi Seni Kebangsaan (ASK). ASK merupakan hasil aspirasi negara untuk menubuhkan sebuah institusi pendidikan tinggi khusus dalam bidang seni. Ketika itu, idea menubuhkan sebuah akademi seni yang berstruktur dan berteraskan pendidikan tinggi dilihat sebagai satu langkah berani. Impaknya dapat kita lihat pada hari ini, pelbagai kejayaan sama ada di peringkat dalam mahupun antarabangsa telah dicapai. ASWARA gigih meredah gelombang, samudera diharungi, belantara dijajahi, onak duri dipijak demi anak-anak seni masa hadapan.
ASWARA telah berjaya melahirkan ribuan graduan seni yang bukan sahaja berbakat besar, malah mempunyai asas akademik yang kukuh dan jati diri yang tinggi bagi mengisi keperluan industri kreatif negara. Ramai Alumni ASWARA kini telah mencipta nama dan memimpin industri, meneraju produksi, tokoh budaya, penyelidik serta tenaga pengajar di pelbagai peringkat dari peringkat sekolah hingga ke universiti. Kejayaan mereka adalah cerminan dan bukti keberkesanan sistem pendidikan seni yang dirintis di ASWARA oleh insan-insan yang hidupnya mengabdikan diri di institusi bertuah ini. Barisan kepimpinan yang menyumbang bakti dan penerus legasi harus berasa bangga dan berusaha untuk memastikan kecemerlangan dan kegemilangan ASWARA sentiasa terpahat di hati semua.
Dalam tempoh tiga dekad ini juga, ASWARA telah berjaya memperluas penawaran program akademik melalui program pengantarabangsaan. Kita telah menyaksikan evolusi kurikulum yang dinamik, penyelidikan seni yang berimpak, dan pertukaran ilmu bersama institusi luar negara. ASWARA kini bukan hanya sebuah institusi pengajian seni, tetapi menjadi pusat ilmu, pemelihara budaya, dan ruang interaksi merentas generasi serta zaman. Saya ingin menegaskan bahawa setiap pencapaian ini bukanlah datang secara kebetulan, tetapi hasil usaha kolektif semua pihak seperti barisan pensyarah, kakitangan pentadbiran dan fakulti, pelajar, alumni, serta sokongan padu daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) sendiri. Tanpa kerjasama dan komitmen dari semua pihak, ASWARA mustahil akan sampai ke tahap ini. Malahan kejayaan ini juga hasil sokongan pihak berkepentingan lain termasuk para penaja dan pihak media yang memberikan liputan terbaik
Sambutan 30 Tahun ini turut menjadi platform untuk kita mengenang jasa, menyemai rasa bangga dan memperkukuh tekad dalam mengangkat seni budaya dan warisam tanah air ke tahap lebih tinggi. Melalui peluncuran Coffee Table Book ASWARA, Setem Edisi Khas 30 Tahun, dan tiga Program Signature ASWARA yang dilancarkan pada hari ini, kita bukan sahaja meraikan sejarah, malah mengukir visi masa depan ASWARA yang lebih gemilang. ASWARA akan terus memperjuangkan seni yang bukan sahaja indah pada zahirnya, tetapi juga sarat dengan nilai, makna dan identiti jati diri bangsa
Dalam menghadapi dunia yang semakin kompleks dalam era digital ini, ASWARA akan terus mengarusperdanakan teknologi dalam pendidikan seni tanpa mengabaikan akar umbi tradisi dan warisan. “Melangkah Ke Hadapan Bersama Tradisi” kekal menjadi mantra ASWARA dalam membentuk anak seni kreatif negara. Justeru, sebagai sebuah pusat kecemerlangan pendidikan seni, budaya dan warisan yang dihormati dan disegani, ke hadapan ASWARA akan melalui fasa “Smart Green
Campus” bagi menyediakan infrastruktur terbaik kepada warga dan anak-anak didikan seni ASWARA. Dalam usaha memperkasakan pemeliharaan, pemuliharaan dan perlindungan khazanah seni budaya warisan negara, Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA) akan menerajui program ‘conservator’ iaitu tempat ‘breeding’ dan ‘nurturing’ bakat-bakat anak seni tradisi. Patah Tumbuh Biarlah Berpengganti dan mereka inilah yang bakal mengisi kekosongan adiguru-adiguru yang ada pada hari ini.
ASWARA mampu menjadi pusat seni budaya dan warisan terkemuka yang dihormati dan disegani. selamat juga di ucapakn kepada 30 orang pelajar dari Quangsi Arts University ke ASWARA di bawah program pertukaran pelajar. Program ini adalah yang pertama kali seumpamanya diadakan oleh ASWARA melibatkan pelajar-pelajar dari China. Semoga jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi ini dapat mengeratkan hubungan dan diteruskan lagi pada masa akan datang.