Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP) meneruskan inisiatif untuk memberikan platform dan ruang untuk persembahan berteraskan seni dan budaya Malaysia. Setelah berjaya mempersembahkan Mek Mulung Putera
Cahaya Bulan, Randai Mudo Pak Belalang, Jit Sin High School’s Chinese
Orchestra dan Sanggar Seni pada tahun lepas, kali ini penonton akan disajikan
dengan persembahan istimewa dari Temple of Fine Arts (TFA) pada Sabtu, 6
September 2025 jam 8.00 malam.
Persembahan ini menjanjikan satu perjalanan seni yang indah menyusuri
kebudayaan kaum India. Penonton akan dibawa menikmati sebuah pengalaman
unik melalui muzik klasikal Hindustani dan Carnatic yang menyentuh jiwa.
Menambahkan lagi keindahan pada malam itu, DFP akan bersemarak dengan sajian
empat tarian klasikal India yang menakjubkan; Bharatanatyam, Odissi, Kathak dan
Kuchipudi.
Ragas and Mudras menjadi tema pilihan untuk persembahan di DFP ini. Ragas ialah
sebuah struktur melodi muzik klasikal India, kombinasi nota (yang dipanggil ‘swaras’)
seiring dengan frasa melodi dan nuansa (dikenali sebagai ‘gamakas’) yang
menyerlahkan karekter yang unik. Mudras ialah simbol ‘ritual’ yang ditarikan melalui
gerakan tangan, jari jemari, seluruh tubuh termasuklah mata dan teknik pernafasan.
Perkataan ‘mudra’ diambil dari bahasa Sanskrit yang membawa makna ‘tanda’ atau
‘gerakan’.
Ditubuhkan pada tahun 1981, TFA ialah organisasi yang didekasi untuk
pembangunan dan penyemaian seni dan budaya India di kalangan generasi muda.
Ia bermula sebagai institusi tarian dan kemudian berkembang untuk mengajar muzik
[Open]
dan vokal dalam kurikulumnya. Ia telah mempersembahkan lebih 20 produksi dan
300 persembahan pendek termasuk eksplorasi integrasi dengan tema budaya
berbeza. TFA telah membuat persembahan serata dunia termasuk Singapura, Sri
Lanka, India, Australia, UK dan USA.
Sebagai institusi budaya yang terkemuka di Malaysia, TFA mendapat pengiktirafan
dan sokongan dari Kementerian Penerangan, Komunikasi Dan Kebudayaan, dan
terlibat dalam majlis rasmi kerajaan termasuk APEC Summit dan Commonwealth
Cultural Festival, semuanya pada tahun 1998. Ia juga telah memenangi banyak
anugerah di BOH Cameronian Arts Awards.
Saksikan bakat seni yang tinggi dari artis-artis TFA dalam sebuah persembahan
istimewa bertemakan Classical Traditions: Ragas and Mudras yang bakal
mempersembahkan sebuah bentuk kebudayaan yang untuk santapan jiwa, hanya di
DFP! Kolaborasi TFA dan DFP ini ialah testimoni di atas komitmen berterusan
kedua-dua organisasi dalam menyuburkan minat dan pembangunan seni dan
budaya bangsa.
Nikmati potongan Pakej Keluarga sebanyak 20% dengan membeli 6 tiket kategori A
Reserve dan B Reserve.
Persembahan TFA ini ialah sebahagian dari ekstravaganza DFP Seni Festival yang
turut menyenaraikan Mistik Pura Masyrik (persembahan unik kisah legenda dari
Pantai Timur pada 9 Ogos 2025) dan Sanggar Seni (koleksi muzik, tarian dan lagu
di foyer DFP secara PERCUMA untuk masyarakat pada 5-7 September 2025).
WARTAWAN : AZMI JAFFRI