SINGAPURA – Penyanyi terkenal bukan sahaja di Singapura , malah turut melebarkan sayapnya di serata dunia , Rahimah Rahim telah menerima anugerah Pingat Budaya , anugerah tertinggi yang pernah diterimanya sebagai seorang anak seni yang ditadbir Majlis Seni Kebangsaan (NAC) dan disampaikan Presiden Halimah Yacob di Istana .
Rahimah Rahim , 66 tahun , merupakan penyanyi Melayu kedua yang telah berjaya menerima Pingat Budaya setakat ini , semenjak tahun 1979 . Manakala , penyanyi Melayu pertama yang menerimanya ialah Nona Asiah pada 2016 .
Meskipun beliau menempa nama di dalam dunia nyanyian , namun Rahimah juga merupakan sebahagian daripada sejarah dunia televisyen Melayu di Singapura , dengan dramanya iaitu Pak Awang Temberang , drama televisyen Melayu Singapura Pertama yang dimainkan di Channel 5 , sekitar 55 tahun lalu .
Beliau kemudiannya menceburi dunia nyanyian seawal usia 14 tahun , yang seterusnya telah menaikkan namanya sehingga hari ini . Wanita yang lahir pada 9 Disember ini berjaya mengharumkan nama Singapura dengan memenangi peraduan KImi Koso Star di Tokyo , Jepun , pada 1974 .
Sejak itu , beliau telah menghasilkan 12 album solo dan beberapa album EP sebagai tanda kejayaan beliau di dalam dunia hiburan itu , malah turut mewakili Singapura ke beberapa pesta lagu antarabangsa serta sambutan Hari Singapura di luar negara .
Antara lagu-lagunya yang masih terkenal sehingga ke generasi kini ialah , Gadis dan Bunga, Cabaran Cinta dan Hati Yang Rapuh , sehinggakan anak-anak muda menggunakan lagu ini untuk dinyanyikan di dalam peraduan realiti atau ada juga segelintir yang membuat lagu-lagunya sebagai ‘cover’ .
Ketika ditemui , Rahimah mengatakan menjelaskan bahawa , beliau akan mengusahakan untuk membolehkan beliau bekerjasama dengan generasi mapan yang seangkatan dengannya , mahupun dengan penyanyi-penyanyi golongan muda yang sedang mencipta nama dalam persada seni Singapura .
Bukan itu sahaja , beliau turut mengatakan akan ada projek seni yang melibatkan keluarganya , terutama cucu-cucunya yang mempunyai minat kepada dunia seni , walaupun kedua anaknya hanyalah golongan rakyat yang biasa .
“Saya lebih melihat diri saya sebagai seorang penghibur dan bukan penyanyi . Kalau ada yang boleh terlerai duka laranya dengan mendengar lagu-lagu atau gurau senda saya di pentas , itu adalah kejayaan manis buat saya .
“Menerima anugerah ini sendiri membuatkan saya teringatkan arwah ibu dan ayah saya yang menyisipkan dalam diri saya nilai-nilai seorang anak seni yang disiplin , komited , miliki nyala rasa dan menyampaikan kerja seninya ikhlas dari hati tanpa mudah mengeluh atau rasa putus asa .” jelasnya .
Selain Rahimah , penulis novel yang menulis berkenaan sejarah Singapura , Encik Chia Joo Ming , 62 tahun , turut menerima anugerah yang berprestij ini .
Turut disampaikan anugerah-anugerah lain di Istana , antaranya ialah Anugerah Seniman Muda yang diberikan kepada enam penggiat seni muda , terdiri daripada seniman tari Norhaizad Adam , 34 tahun ; penggubah lagu Charlie Lim , 33 tahun ; pemuzik ‘Carnatic’ (sistem muzik India Selatan) , Chitra Poornima Sathish , 35 tahun ; penggiat teater Han Xuemei , 34 tahun ; serta pengarah dan penulis naskhah filem , Yeo Siew Hua , 36 tahun .
Pencapaian penerima kedua anugerah ini turut diulas oleh Presiden Halimah , yang memberi pujian kepada penerima kerana sumbangan yang tidak ternilai mereka kepada dunia seni Singapura .
“Pingat Budaya dan Anugerah Seniman Muda meraikan puncak kesenian dan kreativiti baru yang akan mencetus inspirasi bagi kemungkinan akan datang dalam persada seni .
“Penerima tahun ini telah meneroka bentuk luahan artistik yang asli dengan kerja seni mereka meninggalkan impak berpanjangan terhadap masyarakat . Saya berharap pencapaian mereka akan menggalak lebih ramai seniman tunas harapan agar mengejar impian mereka. Tahniah buat semua penerima anugerah !” katanya .
Pingat Budaya merupakan satu pengiktirafan tertinggi yang diberikan oleh Singapura bagi mengakui pencapaian cemerlang seorang aktivis , individu atau tokoh dalam bidang seni dan budaya tempatan . Anugerah ini disampaikan sendiri oleh Presiden Singapura kepada penerimanya .
Bagi pemegang Pingat Budaya ini akan menerima piala dan geran berjumlah S$80,000 daripada Dana Pingat Budaya untuk menjalankan projek-projek seninya .