GUA MUSANG : Seramai 704 Orang Asli Pedalaman Gua Musang kategori Remaja telah menerima suntikan vaksin COVID-19 setakat ini, kata Dr. Ahmad Imran Mohamed, Pegawai Perubatan Unit Kesihatan Orang Asli PKD Gua Musang.
Beliau berkata, jumlah itu merangkumi 76.6 peratus daripada 919 jumlah keseluruhan Orang Asli kategori Remaja yang sepatutnya menerima suntikan vaksin itu.
“Walaupun kampung-kampung Orang Asli ini terpencil, tapi kita tidak sesekali meminggirkan mereka. Hari ini kita membuat program mobilisasi vaksinasi komuniti, program kerjasama Pihak KKM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, JAKOA, dan juga PKOAB Gua Musang” katanya yang ditemui di Kampung Lalok, Pos Bihai Gua Musang.
Beliau berkata lagi, “Penduduk Orang Asli di kampung ini tidaklah begitu ramai, kita memfokuskan vaksinasi remaja berumur 12-17 tahun. Suntikan hari ini seramai 9 orang remaja dan 4 orang dewasa yang tercicir baru-baru ini. Walaupun jumlahnya tidak begitu banyak, tapi kita telah berpuas hati kerana hampir 100 peratus berjaya vaksinasi di Kampung Lalok, Pos Bihai Gua Musang.
“Ini kerana kampung ini sangat sukar dilalui dengan jalan darat, dan tentunya di penghujung tahun, kita ada musim tengkujuh memang kita tidak mampu datang dengan jalan darat. Terima kasih sekali lagi kepada pihak Unit Udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat atas kesediaan dan kesudian memberi khidmat helikopter”.
“Ini kali kedua kita ke Kampung Lalok, kali pertama kita datang pada pertengahan bulan September 2021 untuk suntikan orang dewasa berumur 18 tahun ke atas dengan single dose vaksin Cansino. Dan kali ini kita menyasarkan remaja berumur 12-17 tahun”.