KUALA LUMPUR: ANIH Berhad, pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) mengumumkan bahawa laluan KM77–KM78 arah timur Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak telah dibuka semula ekoran kerja-kerja pembersihan dan pembaikan di sepanjang laluan tersebut telah selesai.
Laluan tersebut telah dibuka semula kepada pengguna lebuh raya sejak 3 pagi semalam.
Pengguna lebuh raya kini tidak perlu membuat pusingan ‘U’ sebelum Plaza Tol Karak jika ingin ke Pekan Karak dan boleh meneruskan perjalanan seperti biasa.
Bagaimanapun, pengguna yang menghala ke Kuala Lumpur masih perlu melakukan pusingan ‘U’ di Plaza Tol Karak.
“Pada masa ini, lorong kiri dan kanan menghala ke Kuala Lumpur dari KM66 hingga KM70 sudah dibuka sepenuhnya. Namun, pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk mematuhi papan tanda arah keselamatan apabila menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua, di KM74.8 hingga KM77.3, untuk memastikan keselamatan dan keselesaan semua”, kata Puan Radzimah Mohd Radzi, Pengurus Besar Kanan, Ketua ANIH Berhad.
ANIH Berhad ingin memberi jaminan kepada orang ramai bahawa syarikat tersebut sentiasa bersedia dan komited dalam memastikan pengguna lebuh raya sentiasa selamat dan selesa.
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk laman sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia/ANIH Berhad di Twitter @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur atau hubungi talian hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT di 09-5479111 atau 1-700-818-700.