KUALA LUMPUR: Tan Sri Mustapha Othman, Ahli Lembaga Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Utama Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Perseketuan bagi tahun ini.
Sumbangan yang cemerlang terhadap pembangunan ummah dan perkembangan syiar islam dilihat menjadi faktor utama beliau dinobatkan anugerah tersebut oleh Jawatankuasa Panel Pemilihan Anugerah Tokoh Maulidur Rasul 1443H.
Othman ketika ditemubual berkata beliau beranggapan anugerah yang diterima itu merupakan satu amanah dan tanggungjawab beliau kepada agama dan negara, malah turut untuk memastikan agar syiar islam terus disemarakkan.
Beliau yang juga merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut komited akan terus menyumbang kepakaran ilmu bagi membangunkan masyarakat islam khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Harapan saya semoga Islam terus dipandang mulia dan masyarakat kita hidup dalam suasana harmoni, aman damai, serta selaras dengan gagasan Keluarga Malaysia,” katanya pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Wilayah Persekutuan 2021 di sini, semalam.
Selain itu, anugerah bagi kategori yang lain juga turut dinobatkan iaitu Pengarah Urusan Kumpulan Zikay Group Berhad, Datuk Mohd Khay Ibrahim telah dianugerahkan Anugerah Khas Individu. Manakala Anugerah Khas Organisasi bagi Kategori Masjid (Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan), Kategori Surau (Surau Jumaat Al-Hikmah Projek Perumahan Rakyat Beringin) dan Kategori Sekolah Rendah Agama atau Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) (SIRAJ Saidina Uthman bin Affan).
Bagi kategori Institut Pendidikan Islam Swasta pula diberikan kepada Sekolah Rendah Islam Cahaya Ummi, selain kategori Badan Bukan Kerajaan diberi kepada Persekutuan Seruan Islam Selangor Dan Wilayah Persekutuan (Jam’iyah).
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad ketika berucap merasmikan majlis tersebut berkata beliau mengajak agensi hal ehwal Islam terus bangkit bersama masyarakat, untuk membantu dan bina semula negara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.