KUALA LUMPUR: Bersempena pelancaran Hari Usahawan Negara (HUN) 2022 yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) anjuran Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM), turut dilancarkan adalah Aplikasi dan Website HUN 2022 (www.hariusahawannegara.com.my).
Majlis pelancaran yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia, Yang Berhormat Tan Sri Noh Omar ini jelas menggabungkan beberapa misi dan visi DPUKM.
Menurut Presiden DPUKM, Yang Berbahagia Dato’ Sri Abu Hasan Mohd Nor berkata, HUN 2022 bakal berlangsung selama lima (5) hari dari 24 hingga 28 Mac 2022 di WTC, Kuala Lumpur merupakan acara yang julung kali diadakan di Malaysia dan bakal dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Abu Hasan turut mengatakan bahawa HUN 2022 diadakan khusus buat usahawan (IKS) untuk berkembang lebih jauh menerusi Aplikasi dan Website HUN 2022 yang dilancarkan pada semalam (31 Jan).
Menurutnya lagi, Aplikasi dan Website HUN 2022 diwujudkan bagi mempromosikan produk IKS secara dalam talian dan membolehkan jualan secara terus kepada pelanggan selain sebagai platform untuk berkongsi informasi.
“HUN 2022 diadakan untuk merancakkan kembali ekonomi negara dengan mewujudkan peluang yang lebih luas selepas ramai usahawan terjejas akibat Pandemik COVID-19.
“Buat masa ini, kira-kira 80% hingga 90% perniagaan dalam Malaysia berada di bawah IKS dan hanya dua puluh peritus golongan usahawan korporat kita berjaya mengeksport produk mereka ke luar negara,” jelasnya.