Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN (ADGMIN) ke-3 di Boracay,Filipina, menutup tirainya hari ini.
Saya telah mengetuai Delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN ke-3 (ADGMIN3) yang diadakan pada 9 dan 10 Februari 2023 bertempat di Boracay, Republik Filipina. Mesyuarat ADGMIN3 yang bertemakan Synergized ASEAN: Human-Centric n Approach to a Sustainable Digital Transformation’ telah dipengerusikan oleh Tuan Yang Terutama Ivan John E. Uy, Menteri di Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (DICT) Republik Filipina.
Malaysia aktif memberikan sumbangan kepada agenda pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital di rantau ASEAN melalui pelaksanaan projek-projek yang digariskan dalam Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025). Penyertaan Malaysia di ADGMIN3 adalah bagi menzahirkan komitmen berterusan dalam memperkukuhkan peranan ICT sebagai pemacu utama transformasi ekonomi dan sosial ASEAN pasca COVID-19.
Mesyuarat juga telah memperakukan Deklarasi Boracay. Deklarasi Boracay secara dasarnya menggariskan komitmen negara-negara anggota ASEAN pada tahun 2023 bagi memantapkan jalinan kerjasama ke arah pembangunan sektor telekomunikasi dan teknologi digital melalui pelaksanaan projek-projek selari dengan ADM2025.
Namun begitu, ingin saya tegaskan bahawa segala persetujuan yang dibuat di dalam mesyuarat tersebut bukanlah melambangkan pendirian Malaysia mengiktiraf SAC sebagai Kerajaan Myanmar yang sah. Malaysia sentiasa menekankan pendirian agar pihak SAC perlu menyegerakan pelaksanaan untuk mencari penyelesaian kepada kemelut politik di Myanmar.
Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, YBhg. Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek juga telah mengetuai Delegasi Malaysia ke Mesyuarat PegawaiPegawai Kanan Digital ASEAN (ADGSOM) pada 6 hingga 8 Februari 2023 di lokasi yang sama.