SHAH ALAM: Mangsa banjir di Selangor kian meningkat ekoran hujan yang tidak berhenti sejak beberapa hari yang lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan sangat lebat berlaku di beberapa kawasan seperti Perak, Pahang, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Ekoran hujan yang tidak berhenti, paras air telah meningkat di beberapa kawasan di negeri Selangor antaranya Shah Alam, Puchong dan Klang.

Ramai mangsa banjir yang terkandas di kediaman masing-masing hingga ada di antara mereka yang perlu memanjat bumbung rumah bagi menyelamatkan diri.
Salah seorang mangsa yang terkandas merupakan seorang warga emas yang menghidapi strok yang terlantar sakit di kediamannya di Shah Alam.
Mangsa bagaimanapun berjaya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat pada jam 3 pagi tadi.
Paras air yang tinggi turut menyukarkan kenderaan untuk bergerak dan terdapat mangsa yang terkandas dalam kenderaan mereka.

Seorang wanita bersama dengan anak-anaknya merupakan antara mangsa yang terperangkap dalam kenderaan yang ditenggelami air di Seksyen 25, Shah Alam sebelum dibantu oleh penduduk sekitar.
Ramai pihak menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dengan menawarkan rumah serta kenderaan pacuan empat roda bagi membantu mangsa banjir mencari tempat perlindungan.
Setakat jam 8 pagi tadi, dilaporkan seramai 6,242 mangsa banjir di enam daerah di Selangor direkodkan dan semua mangsa ditempatkan di 80 PPS.
Bantuan boleh didapatkan dengan menghubungi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor di 03-5035 0920.

SUMBER FOTO: FACEBOOK ADNAN SEMAN