19 DISEMBER 2021: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah mengenal pasti dan menyediakan sejumlah 5,731 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.
KPWKM dalam satu kenyataan berkata sejumlah PPS tersebut dijangka mampu menampung seramai 1.63 juta mangsa bencana dalam satu-satu masa.
Mengulas lanjut, sejumlah 134 PPS adalah PPS berkapasiti besar, 1,970 berkapasiti sederhana dan 3,627 berkapasiti kecil yang kesemuanya dilengkapi dengan keperluan asas seperti pakaian, makanan, hand sanitizer, pelitup muka serta cubicle (bilik kecil) bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang terjejas.
Sehingga pukul 11.30 malam (18 Disember), sebanyak 6 Negeri telah dilanda banjir iaitu Negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.
Hasil daripada bencana tersebut telah menyebabkan sebanyak 220 PPS telah dibuka yang melibatkan seramai 5076 buah keluarga dan 13,872 orang mangsa.
Sementara itu, kesemua mangsa akan melalui saringan COVID-19 bagi menangangi penularan tatkala negara berdepan dengan bencana banjir. Malah, PPS khusus juga akan disediakan bagi mangsa yang didapati positif COVID-19.
“Saya telah menggerakkan seramai 100 orang pegawai dan kakitangan JKM bagi membantu mangsa di lokasi bencana banjir. Pada masa kini seramai 500 orang sukarelawan Skuad Keluarga Malaysia telah digerakkan untuk membantu mangsa-mangsa di PPS yang beroperasi,” kata Rina Harun, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia (KPWKM) dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Rina Harun turut berharap agar orang ramai sentiasa memastikan keselamatan keluarga diberikan keutamaan sewajarnya terutama kanak-kanak, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU) bagi mengelakkan sebarang kemalangan jiwa berlaku.