3 Februari 2022: Mengambil kira keadaan semasa pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam satu kenyataan bersetuju untuk menanggung sepenuhnya bayaran proses UPU Online/ Unik ID kepada semua pemohon lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM)/Setaraf, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Asasi, Matrikulasi dan Diploma/Setaraf bagi sesi akademik 2022/2023.
Sementara itu, permohonan kemasukan akan dibuka mulai 4 Februari 2022 hingga 31 Mac 2022 dengan melayari portal rasmi upu.mohe.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut dan membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA).
Menurut Menteri Pengajian Tinggi, Dr. Noraini Ahmad menerusi kenyataan berkata, “Kerajaan dan KPT khususnya amat prihatin akan kekangan dan kesan sekiranya pemohon diwajibkan membeli nombor pin Unik ID untuk membuat permohonan UPUOnline.
“KPT juga berharap agar keputusan ini dapat meringakan beban dan melancarkan urusan pemohon untuk melanjutkan pengajian seterusnya menjamin masa depan yang lebih cerah”, katanya.