KUALA LUMPUR: Sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan kali ke-18, Menteri Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kassim turut bersama mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan di kawasan-kawasan utama sekitar Kuala Lumpur.
Sejumlah 71,000 bendera telah dipasang di kawasan-kawasan utama sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 15,530 di Putrajaya dan 18,000 di Labuan.
Kawasan-kawasan utama yang terlibat merangkumi jalan-jalan protokol, premis-premis perniagaan, bangunan pejabat kerajaan dan kawasan perumahan rakyat di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan.
Majlis Pelancaran Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan kali ini dilaksanakan di pusat membeli-belah terkemuka iaitu Suria KLCC, Pavilion KL dan Mid Valley Megamall.
Pemasangan bendera Wilayah Persekutuan di samping dekorasi sambutan Tahun Baru Cina di pusat membeli-belah memeriahkan lagi Sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Turut hadir memeriahkan majlis pelancaran kempen tersebut adalah isteri Menteri Wilayah Persekutuan, YBhg. Datin Seri Shamsiah Binti Mohd Yassin serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan iaitu Datuk Seri Jalaluddin bin Alias.
Matlamat utama kempen ini dilaksanakan bertujuan untuk menguatkan kecintaan dan rasa sayang serta ‘sense of belonging’ terhadap Wilayah Persekutuan dalam kalangan warganya.
Selari dengan aspirasi “Our City Our Home”, seluruh warga Wilayah Persekutuan diseru untuk menyertai acara-acara yang telah dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan mengibarkan bendera di premis masing-masing bagi menzahirkan semangat “We Feeling” serta menampilkan tanda cinta dan sayang kepada Wilayah Persekutuan.