Baru-baru ini – YB Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masjid Putra Heights di sini, bagi meninjau keadaan mangsa insiden kebakaran paip gas baru-baru ini.
Beliau meluangkan masa bertemu mangsa yang ditempatkan di PPS tersebut. Selain mengedarkan pek makanan, beliau mendengar sendiri kisah mereka yang terkesan akibat insiden tersebut, selain memberikan sokongan moral.
Difahamkan bahawa kebanyakan mangsa datang dari Kampung Kuala Sungai Baru dan Taman Harmoni yang terjejas teruk.
Lebih kurang 96 buah keluarga merangkumi 330 orang mangsa ditempatkan di PPS tersebut.
Hadir sama, Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Prof. Madya Dato’ Dr. Mohamed Azam bin Mohamed Adil dan wakil QSR Brands.
Terdahulu, Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menyalurkan sumbangan awal sebanyak RM200,000 bagi membantu mangsa insiden kebakaran paip gas yang berlaku di Putra Heights.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan berkata ia adalah sebagai tanda solidariti dan keprihatinan untuk meringankan beban mereka yang sedang diuji dengan bencana itu.