PENGKALAN HULU, 13 April – Kerajaan MADANI melalui Kementerian Perpaduan Negara dengan kerjasama Persatuan Siam Malaysia (PSM) telah menganjurkan Perayaan Songkran Peringkat Kebangsaan di Dewan Songkran Kampung Tasek, Pengkalan Hulu, Perak Darul Ridzuan.
Program ini merupakan perayaan yang disambut setiap tahun oleh etnik minoriti Bumiputera Siam bagi menandakan kedatangan tahun baharu yang penuh dengan kesyukuran dan kegembiraan yang selari dengan nilai MADANI iaitu kesejahteraan dan hormat.
YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara dalam ucapannya berkata “Songkran memberikan peluang untuk kita mengenali dan menghargai tradisi masyarakat Siam yang telah wujud sejak sekian lama. Tradisi ini bukan sahaja memberikan pemahaman yang lebih mendalam tentang kehidupan masyarakat Siam,
tetapi juga mengajak kita untuk lebih menghargai nilai-nilai murni seperti kasih sayang dan hormat-menghormati dalam kehidupan seharian’’.
Beliau turut menyatakan bahawa warisan budaya ini adalah jambatan yang menyatukan kita sebagai satu bangsa, tanpa mengira latar belakang etnik, agama, dan budaya. Memelihara warisan budaya adalah tugas kita bersama, untuk memastikan bahawa generasi akan datang dapat mewarisi dan merasai keindahan nilai-nilai yang telah ditinggalkan oleh nenek moyang kita. Sebagai rekod, penemuan utama Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia pada tahun 2020 menunjukkan seramai 43,071 warganegara Malaysia adalah dari kalangan Etnik Siam. Ini membuktikan bahawa
masyarakat Siam di Malaysia mempunyai warisan budaya yang kukuh serta terus dipertahankan dari generasi ke generasi.
Program yang berlangsung selama tiga (3) hari ini turut diserikan dengan pelbagai pengisian menarik seperti perarakan tradisional Songkran, pameran budaya dan makanan tradisional, pertunjukan kebudayaan (tarian, seni dan muzik), pertandingan permainan tradisional, aktiviti mandi air (water splashing) dan aktiviti sosial dan kesenian bersama komuniti.