ALOR SETAR – Tiga kluster membabitkan institut pendidikan baharu direkodkan di Kedah , menjadikan kluster keseluruhan berkaitan pendidikan sebanyak 6 kluster , dengan 253 individu positif COVID-19 , setakat ini .
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah , Dr Othman Warijo , berkata , kluster-kluster tersebut melibatkan beberapa buah sekolah menengah , dan dinamakan sebagai Kluster Dah Padang Halban , Kluster Dah Sungai Kob dan Kluster Dah Sungai Limau .
“Kluster Dah Halban membabitkan 25 kes di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun , Kubang Pasu dan Kluster Dah Sungai Kob pula membabitkan 37 kes di SMK Sungai Kob , Kulim .
“Kluster Dah Sungai Limau pula membabitkan 27 warga Sekolah Menengah Agama Saadah Al-Diniyah Al-Islamiah , Yan yang positif COVID-19 ,” katanya ketika dihubungi pihak media .
Beliau turut menjelaskan bahawa , sebanyak sembilan lagi kes positif COVID-19 , membabitkan pelajar asrama Maktab Mahmud Pendang di bawah Kluster Dah Penyarom , menjadikan jumlah keseluruhan kes di maktab tersebut ialah sebanyak 108 kes .
Manakala , jumlah kes bagi Kluster Dah Jalan Pantai di SMK Kota Kuala Muda , Sungai Petani masih kekal dengan 33 pelajar yang disahkan positif COVID-19 .
“Kelmarin (Selasa) juga terdapat Kluster Teluk Teduri membabitkan 23 pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Baling , ” tambahnya lagi .
“Majoriti yang positif adalah pelajar . Semua sekolah ini sudah diarah tutup seminggu dan ada yang lebih bergantung kepada hasil penilaian risiko di lokasi berkenaan ,” katanya .
Oleh itu , beliau memperingatkan orang ramai , terutama warga institusi pendidikan supaya tidak lupa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi menyekat wabak COVID-19 ini dari terus merebak .