KAJANG: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengumumkan bahawa lawatan khas keluarga atau penjaga sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2022 dibenarkan bermula 9 hingga 12 Mei 2022.
Lawatan khas keluarga dan penjaga tersebut dibenarkan di Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) di seluruh negara dan mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan dalam tempoh Fasa Peralihan ke Endemik.
Selain itu, hanya pelawat yang lengkap dua dos vaksin sahaja yang dibenarkan untuk melawat klien di PUSPEN di mana temu janji dibuat dengan menghubungi pihak PUSPEN melalui panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel kepada Pegawai pemulihan yang terlibat.
Lawatan khas tersebut diadakan bagi merapatkan hubungan antara klien dan keluarga dan mendapatkan sokongan moral serta emosi sekaligus membolehkan keluarga atau penjaga melihat sendiri perkembangan klien ketika dalam program pemulihan.
Selain itu, lawatan khas tersebut memberi ruang buat klien dan keluarga atau penjaga untuk bertemu mesra serta pendekatan terapeutik dalam mendorong kepulihan mereka.