SHAH ALAM, 28 April 2022: Pakatan Harapan (HARAPAN) menerusi satu kenyataan pada hari ini menzahirkan sokongan penuh kepada kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang menyifatkan tohmahan terhadap hakim dan badan kehakiman mutakhir ini agak keterlaluan.
Majlis Presiden mengingatkan perkara 4.1 dalam memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan persekutuan dan HARAPAN menyatakan dengan jelas bahawa Kerajaan Persekutuan perlu “memastikan terlaksana sepanjang masa kebebasan badan kehakiman”.
“Kami menggesa agar Kerajaan Persekutuan memastikan MoU ini terus terlaksana dengan menjamin bahawa agensi-agensi penguatkuasaan tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan serta sentiasa menghormati prinsip kebebasan Badan Kehakiman,” ujar Majlis Presiden HARAPAN menerusi kenyataan.
Kenyataan dibuat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Upko, Datuk Wilfred Madius Tangau.
Jelas Majlis Presiden HARAPAN, Badan Kehakiman yang bebas merupakan tunjang kepada negara hukum dan sistem demokrasi yang diterima, dipercayai serta diyakini rakyat.