PETALING JAYA: Menerusi laman Twitter peribadi, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri hari ini tampil memberi penjelasan mengenai isu bantuan makanan yang dimasak oleh bukan Muslim.
Hal ini kerana terdapat segelintir masyarakat yang mempertikaikan akan status halal makanan yang dimasak oleh mereka bukan beragama Islam.
Dr. Zulkifli Mohamad menerusi ciapan di laman Twitter berkata, “hukum Muslim memakan makanan daripada bukan Muslim yang bukan ahli kitab adalah dibolehkan selagi mana tidak melibatkan haiwan sembelihan mereka.”
“Saya amat kagum melihat pengurusan sistem agihan bantuan yang melibatkan pelbagai agama dan bangsa. Semuanya tersusun dan lengkap dengan dokumentasi. Ini amat penting bagi menjamin integriti dan profesionalisme,” ciapnya lagi.
Sementara itu, beliau yang mewakili Muslim Elders Malaysia dan Surau Al-Makrifah turut tidak ketinggalan untuk menyampaikan sumbangan untuk tujuan penyediaan makanan kepada mangsa banjir.
Dr. Zulkifli Mohamad hari ini mengunjungi Gurdwara Sahib Petaling Jaya (GSPJ) setelah menerima jemputan daripada Presidennya, En. Awatar Singh Terry dan seluruh Jawatankuasa GSPJ.
IKHSAN FOTO: TWITTER Dr. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI