PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan situasi semasa Covid-19 di Malaysia yang merangkumi beberapa aspek seperti penggunaan kapasiti katil di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh KKM pada hari ini, kadar pengisian katil Kes Kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU) bagi empat negeri adalah lebih daripada 50 peratus iaitu Johor (70 peratus), Kelantan (61 peratus), WP Kuala Lumpur (58 peratus) dan Melaka (54 peratus).
Selain itu, kadar bagi pengisian katil bukan ICU adalah melebihi 50 peratus di 12 negeri seperti Perlis (109 peratus), Selangor (101 peratus), Kelantan (100 peratus), Perak (97 peratus), Johor (82 peratus) Putrajaya (79 peratus), Sarawak (76 peratus), Sabah (74 peratus), WP Kuala Lumpur (73 peratus), Pahang (58 peratus), Pulau Pinang (53 peratus) dan Terengganu (52 peratus).
Kadar pengisian katil di PKRC di empat negeri seperti Selangor (68 peratus), Perak (60 peratus), Melaka (59 peratus) dan Sabah (58 peratus) juga melebihi kadar 50 peratus.
Jumlah pesakit yang memerlukan alat bantuan penafasan (ventilator) juga meningkat kepada 164 pesakit dengan peratusan sebanyak 37 peratus daripada jumlah keseluruhan ventilator untuk pesakit Covid-19 dan bukan Covid-19.
KKM juga melaporkan bahawa setakat 21 Februari 2022, terdapat 4 kluster baharu yang menjadikan sebanyak 500 kluster aktif.