KUALA LUMPUR: Kolej Islam Antarabangsa (IIC) hari ini melaksanakan sebuah Majlis Pelancaran Mahkamah Moot Kolej Islam Antarabangsa.
Mahkamah moot tersebut yang dibina bagi kegunaan pelajar diploma undang-undang telah dirasmikan oleh YB Datuk Mastura binti Tan Sri Dato’ Mohd Yazid, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas).

Program Diploma Undang-undang Kolej Islam Antarabangsa telah ditubuhkan sejak tahun 2019 dan mendapat akreditasi penuh pada tahun 2021 dan kini mempunyai seramai 244 orang pelajar.
Mahkamah moot merupakan mahkamah mini yang ditubuhkan di sekolah undang-undang di mana pelajar mengambil bahagian dalam persediaan dan pertikaian kes di hadapan hakim.
Tujuan pembinaan mahkamah moot ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar diploma undang-undang tentang tatacara dan prosedur di mahkamah-mahkamah di Malaysia.
Selain itu, mahkamah moot ini dapat digunakan untuk aktiviti-aktiviti berkaitan pembelajaran undang-undang dan mendedahkan suasana sebenar perundangan kepada pelajar-pelajar dalam membentangkan kes perundangan.
Mahkamah moot juga membenarkan pelajar untuk mempraktikkan pengetahuan undang-undang yang dipelajari di dalam bilik darjah dan mengaplikasikannya ke dalam kes-kes perundangan.

Mahkamah Moot Kolej Islam Antarbangsa telah dibina pada tahun 2020 namun aktiviti berkaitan pembelajaran undang-undang tidak dapat dilakukan ekoran pandemik Covid-19.
Antara yang turut hadir ketika majlis pelancaran tersebut ialah Dekan Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof. Dr. Zuhairah Ariff binti Abd. Ghadas; Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Dato’ Haji Zainul Rijal bin Abu Bakar serta Dekan Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Farid Suffian Shuaib.