JOHOR BAHRU: Pelaksanaan myBAS Johor Bahru yang diperluas akan melibatkan 19 laluan di lima (5) Koridor iaitu Koridor Kota Tinggi, Koridor Masai, Koridor Kulai, Koridor Gelang Patah dan Koridor Pontian.
Penglibataan 19 laluan tersebut dijangka bakal memberi manfaat kepada penduduk di sepanjang jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer dalam usaha menggalakkan penggunaan bas sebagai mod pilihan rakyat.
Menerusi kenyataan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), rakyat di negeri Johor bakal menikmati perkhidmatan myBAS menerusi program Stage Bus Service Transformation (SBST) pada April 2022.
“Bagi memastikan rakyat Johor merasai manfaat dan kejayaan berterusan myBAS Johor Bahru, Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM150 juta bagi tempoh 3 tahun untuk program SBST di Johor”, menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, perkhidmatan myBAS Johor Bahru akan beroperasi dengan purata kekerapan bas dari 20 hingga 30 minit ketika waktu puncak manakala 30 hingga 60 minit ketika waktu luar puncak.
Menurut kenyataan juga, “Tambang perkhidmatan myBAS Johor Bahru adalah berpatutan dan penumpang juga diberi pilihan untuk membuat pembayaran tambang secara tunai atau tanpa tunai ketika menggunakan perkhidmatan ini”.
Bagi keseluruhan operasi, sebanyak 128 buah bas lengkap dengan sistem navigasi GPS dan Sistem Tiket Elektronik akan digunakan.
myBAS Johor Bahru juga meupakan perintis kepada penggunaan bas elektrik pertama di bawah program SBST apabila dua laluan myBAS Johor Bahru bakal beoperasi menggunakan 8 buah bas elektrik.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan telah memperkenalkan SBST pada tahun 2015 sebagai satu inisiatif dalam menambahbaik perkhidmatan bas berhenti-henti di kawasan bandar dan kawasan luar bandar.