PUTRAJAYA: Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob telah melantik enam individu sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Keenam-enam mereka dilantik sebagai ahli panel badan pembantu bebas SPRM bagi tempoh dua tahun.
Lima daripada enam individu tersebut dilantik sebagai ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) yang merupakan lantikan semula.
Seorang lagi daripada mereka pula dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu, menggantikan seorang ahli panel bebas yang telah meletak jawatan Disember lalu.
Mereka yang dilantik merupakan individu yang terdiri daripada golongan profesional serta pakar daripada pelbagai bidang dan perlantikan mereka tersebut dilakukan bagi mewakili masyarakat dalam memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.
Ahli-ahli PPO yang dilantik ialah YBhg. Dato’ Ahmad Rosli Mohd Sham selaku pengerusi, manakala YBhg. Dato’ Mohd Fauzi Hj Che Mamat; YBhg Dato’ Abdul Manap Dim, YBhg. Dato’ Indera Azimah Abd Hamid dan YBrs. Dr. Haji Mazlan Haji Ahmad dilantik sebagai ahli.
Bagi PPPR, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din telah dilantik bagi menggantikan ahli panel yang telah meletak jawatan.
Tempoh pelantikan PPO dan PPPR tersebut berkuat kuasa bermula 1 April 2022 sehingga 31 Mac 2024 dan surat cara pelantikan telah diserahkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri Haji Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.
SUMBER FOTO: LAMAN TWITTER RASMI SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (@SPRMMalaysia)