KUALA LUMPUR: Ekoran perkhidmatan bas di koridor Damansara, Jalan Ipoh dan Jalan Pahang yang tergendala buat sementara waktu, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus), operator perkhidmatan bas Rapid KL memohon maaf di atas masalah operasi yang berlaku di depot Batu Caves yang menjadi punca gangguan servis tersebut.
Pemulihan telah dilakukan secara berkala pada jam 7:06 pagi dan perkhidmatan bas di koridor trsebut telah beroperasi semula secara penuh bermula jam 8:45 pagi.
Rapid Bus dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan hari ini menyatakan bahawa siasatan dalaman dilancarkan serta merta bagi mengenalpasti punca kejadian agar pihak mereka boleh mengelak dan meminimakan risiko kejadian tersebut berulang pada masa akan datang.
Rapid Bus turut meminta para penumpang yang terlibat dan mengalami kelewatan bagi urusan masing-masing akibat kesulitan yang berlaku untuk menghubungi Rapid KL di talian 03-78852585 atau emel ke suggest@rapidkl.com untuk tujuan pemulihan perkhidmatan.
Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai operasi semasa perkhidmatan bas Rapid KL, para penumpang boleh melayari laman media sosial Rapid KL dan juga aplikasi PULSE.