KUALA LUMPUR: Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Lorong Tuanku Abdul Rahman akan beroperasi bermula 9 April sehingga 2 Mei 2022.
DBKL menerusi kenyataan berkata aktiviti pasar malam di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) pada hari sabtu (9 April) akan dipindahkan operasinya ke Jalan TAR bemula persimpangan Jalan Esfahan sehingga ke Persimpangan Jalan Melayu sepanjang tempoh Bazar Aidilfitri 2022 berlangsung.
“Sebahagian Jalan TAR akan ditutup untuk operasi pasar malam bermula jam 12:00 tengahari sehingga jam 12:00 malam (Sabtu) pada 9 April, 16 April, 23 April dan 30 April 2022,” menurut kenyataan itu.
DBKL turut menasihati orang awam supaya merancang perjalanan jika ingin ke lokasi Jalan TAR pada tarikh-tarikh yang dinyatakan tersebut.
Pada tahun 2022, DBKL telah meluluskan sebanyak 77 lokasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Pengunjung diminta untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan DBKL serta memarkir kenderaan masing-masing di tempat yang tidak menganggu lalu lintas untuk keselamatan pengunjung dan peniaga,” menurut kenyataan itu.