KUALA LUMPUR: Pengarah urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin menghalalkan perbuatan mereka yang memecah masuk di MYDIN Mart, Sri Muda, Shah Alam yang turut musnah akibat banjir.
Kemusnahan di cawangan tersebut menyebabkan kerugian melebihi jutaan ringgit.
Beliau dalam satu kenyataan rasmi menyatakan bahawa beliau turut tersentuh dan bersimpati akan bencana banjir teruk yang melanda terutamanya ketika negara masih giat memerangi wabak Covid-19.
Berkenaan insiden pecah masuk ke premis MYDIN Mart Sri Muda, beliau berkata bahawa beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun faham akan keadaan darurat yang menyebabkan mereka tiada pilihan lain selain melakukan perbuatan tersebut.
Beliau turut menghalalkan mereka yang telah terlibat dengan insiden pecah masuk tersebut dengan niat untuk meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya serta berharap agar mereka semua terselamat dan bencana banjir serta pandemik akan pulih seperti biasa.