KUALA LUMPUR – Kes keseluruhan positif Covid-19 melibatkan varian Omicron yang dikesan di Malaysia ialah sebanyak 245 kes , setakat hari ini , dengan 157 daripada ( 64.08 % ) disahkan dijangkiti oleh golongan jemaah umrah .
Menteri Kesihatan , Khairy Jamaluddin , menjelaskan bahawa , sebanyak 233 kes daripada jumlah itu merupakan jangkitan yang didapati daripada luar negara , manakala 12 kes lagi penularan tempatan yang berpunca di Sarawak .
Katanya , jumlah kumulatif ini bertambah sebanyak 123 kes baharu yang dilaporkan hari ini , kepada jumlah jangkitan pada 4 Januari lalu yang merekodkan 122 kes .
“Sebanyak 44 kes positif COVID-19 disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan tujuh kes positif COVID-19 jangkitan tempatan di Sarawak disahkan varian Omicron oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ,” katanya .
Mengikut pecahan 44 kes jangkitan import tersebut , 29 kes adalah berpunca daripada Arab Saudi , masing-masing lima kes dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kazakhstan , tiga kes dari United Kingdom dan masing-masing satu kes dari Amerika Syarikat dan Tanzania .
“Sementara itu saya baru sahaja menerima lagi keputusan WGS daripada IMR sebelum sidang media ini bermula. IMR telah mengesahkan 72 lagi kes positif COVID-19 dengan varian Omicron dan 59 daripadanya adalah dari Arab Saudi ,” tambahnya lagi .