KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Wira Dr Noor Zari Hamat telah merasmikan Festival Filem Jepun (JFF) 2021 pada 4 Januari yang lalu di Golden Screen Cinemas (GSC), Mid Valley, Kuala Lumpur.
Majlis perasmian JFF 2021 turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Misi Kedutaan Jepun di Malaysia, Araki Kaname, Pengarah Japan Foundation Kuala Lumpur (JFKL), Seiya Shimada, Timbalan Ketua Pengarah (Produksi dan Teknikal) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Syirfan Indra Mitra Surya, Ketua Kumpulan Kakitangan Korporat Mitsubishi Corporation, Masayuki Ito serta Ketua Pengarah Urusan GSC, Koh Mei Lee.
Festival tersebut dianjurkan oleh JFKL dan berlangsung pada 6 hingga 23 Januari di GSC terpilih di seluruh negara.
Sewaktu perasmian, Datuk Wira Noor Zari Hamat berkata bahawa sepanjang dua tahun lepas, penerbit filem dan pengusaha panggung wayang serta golongan yang terlibat telah menghadapi pelbagai dugaan akibat pandemik Covid-19.
Beliau turut berharap JFF akan sentiasa menjadi medium untuk rakyat Malaysia mengenali adat, budaya dan perkembangan sosial Jepun sekaligus mengukuhkan persefahaman di antara kedua-dua negara.
Selain itu, tahun 2022 menandakan 40 tahun Malaysia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur (LEP) setelah diperkenalkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1982.
Ketika majlis perasmian festival tersebut, Araki Kaname berkata bahawa bagi merayakan pencapaian dua hala kedua-dua negara sejak 40 tahun yang lalu, Jepun akan bekerjasama dengan Malaysia sepanjang tahun ini.
Kedua-dua negara akan turut fokus dalam mengeratkan lagi hubungan dua hala yang dijalin untuk tempoh 40 tahun akan datang.
Maklumat lanjut mengenai JFF 2021 boleh didapati di laman sesawang JFKL atau Facebook rasmi kedutaan.
SUMBER FOTO: FACEBOOK RASMI EMBASSY OF JAPAN IN MALAYSIA