BENTONG: Hujan lebat berterusan sejak 3 pagi hari ini menyebabkan beberapa kawasan di Janda Baik dilanda banjir kilat.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bentong Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata setakat 8 pagi, lebih 140 rumah dinaiki air di Kampung Sum-Sum, Kampung Lampin, Kampung Cheringin dan Kampung Pulau Santap.
“Tiada laporan mengenai sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Polis Daerah Bentong Zaiham Kahar berkata paras air di kawasan itu semakin surut, dan terdapat beberapa kejadian tanah runtuh dilaporkan.
Beliau berkata agensi berkaitan telah dikerahkan untuk membantu dan mengawal keadaan.
Zaiham berkata kejadian tanah runtuh menyebabkan jalan lama Bukit Tinggi-Genting Sempah ditutup kepada kenderaan, tetapi jalan menuju ke Janda Baik masih boleh dilalui.
“Tiada pusat pemindahan sementara dibuka pada masa ini,” katanya.
Pengurus besar kanan syarikat konsesi lebuh raya ANIH Bhd Radzimah Mohd Radzi dalam satu kenyataan berkata laluan Km68 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Kuala Lumpur masih selamat digunakan, walaupun beberapa kawasan berhampiran dinaiki air akibat hujan lebat.
“ANIH Bhd sedang memantau paras air Sungai Bentong sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.