Sebuah buku bertajuk Resurrection of Rudinara Salinger House hasil tulisan Prof. Madya Abd Rahim Awang telah diterbitkan di bawah kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Selangor.
Buku ini mengisahkan sejarah pembinaan sebuah rumah kayu yang asalnya dibina di Sg. Merab, Bangi sebelum dipindahkan ke Seremban.

Rumah kayu yang diberi nama Salinger House ini telah menerima anugerah antarabangsa iaitu The Aga Khan Award.
Buku terbitan MTIB-UITM Selangor ini turut mengisahkan perjalanan cinta, semangat, pengorbanan, cabaran, pendirian, perpisahan, perobohan, pembongkaran dan diakhiri dengan kelahiran semula.

Penerbitan buku ini merupakan sebuah tribut untuk Prof. Dato Dr. Rudin Salinger dan pasangan beliau, Datin Munira yang merupakan pemilik asal rumah kayu ini.
Selain itu, buku ini juga dapat mengangkat imej kayu sebagai bahan pembinaan yang berkualiti dan mempunyai nilai estetika yang tinggi.
Satu Majlis Penyerahan Buku Salinger House antara UiTM Selangor dan MTIB telah berlangsung semalam.
Antara yang terlibat ketika majlis penyerahan buku tersebut adalah Rektor UCS UiTM, YBhg. Prof. Dr. Ahmad Sazali Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan & Komersial) MTIB, Puan Hajah Roslina Idris, Pengarah Pembangunan Industri MTIB, Dr. Mohd Nor Zamri Mat Amin serta Penolong Pengarah Kanan, Pusat Reka Bentuk TANGGAM MTIB, Nik Zuraihah Nik Mohammad.

Selain itu, beberapa tetamu VIP turut menghadirkan diri ke majlis penyerahan buku tersebut, antaranya ialah Tan Sri Dato Sri Ar. Esa Mohamad, Pengasas Arkitek Jururancang Malaysia Sdn. Bhd. (AJM) yang juga merupakan pemenang anugerah Aga Khan 2001, Datuk Ar. Ezumi Harzani bin Ismail, Presiden Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) serta Ar. Zarim Abu Bakar, mantan Presiden Balai Ikhtisas Malaysia (BIM) yang juga merupakan mantan Timbalan Presiden PAM.
Pemilik baru rumah kayu tersebut, Dato’ Fadhil Dato’ Rashid dan isteri, Datin Rosedina Dato’ Mohd Shamsudin serta arkitek Prof. Madya Dr. Ar. Jimmy Lim turut hadir ke majlis penyerahan buku tersebut.

Tempahan buku tersebut kini dibuka dengan harga promosi iaitu RM60 dan RM9 bagi caj penghantaran.
SUMBER FOTO: LAMAN FACEBOOK RASMI MALAYSIAN TIMBER INDUSTRY BOARD