LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia berjaya menghalang 21 buah Bot Nelayan Asing (BNA) daripada memasuki perairan negara berhampiran Pualu Perak kira-kira jam 4:30 petang semalam.
Kapal TLDM yang berjaya menghalang bot-bot tersebut daripada memasuki perairan negara dalam Op Benteng Laut semalam ialah KD Jebat dengan bantuan Maritime Component Commander (MCC) Barat yang menyalurkan maklumat.

Ketika tiba di lokasi bot-bot tersebut dikesan, KD Jebat telah berjaya mengusir 3 buah bot dan terus mengekori bot-bot tersebut keluar meninggalkan sempadan perairan negara manakala 18 buah bot lagi dipercayai telah meninggalkan perairan setelah menyedari kehadiran KD Jebat.
Terdahulu, aset milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Pesawat B200T (RMF 377) telah berjaya mengesan keberadaan 21 buah BNA di dua posisi berbeza.
Bot-bot tersebut telah dikesan berada pada 36 batu nautika Selatan Pulau Perak dan 40 batu nautika Barat Laut Pulau Jarak.
SUMBER FOTO: LAMAN TWITTER RASMI TENTERA LAUT DIRAJA MALAYSIA (@tldm_rasmi)