BERA: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengagihkan sumbangan Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada 465 ketua isi rumah semalam menjadikan kadar penerima yang telah menerima BWI di daerah tersebut adalah 100 peratus.
Bantuan tersebut diagihkan kepada semua mangsa banjir, termasuklah mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Setakat 8 Januari 2022, sebanyak 94.3 peratus mangsa banjir yang berpindah ke PPS dan 93.8 peratus mangsa banjir yang tidak berpindah ke PPS telah menerima BWI.
Selain BWI, terdapat beberapa lagi bantuan yang akan mula diagihkan pada hari ini seperti wang tunai sebanyak RM2,500 untuk pembelian barang keperluan rumah serta baucar tunai berjumlah RM500 bagi pembelian barangan elektrik.
Baucar tunai berjumlah RM1,000 bagi tujuan pembaikan kenderaan serta bantuan wang tunai sebanyak RM5,000 bagi tujuan kerja-kerja pembaikan rumah mangsa banjir yang tidak serius juga turut disalurkan bagi setiap keluarga.
Beliau berkata bahawa terdapat tiga kaedah pembayaran yang telah ditetapkan oleh kerajaan bagi bantuan wang tunai RM2,500.
“Untuk mangsa banjir di seluruh negara, terdapat tiga kaedah pembayaran iaitu pemberian secara terus dengan menghantar ke rumah, berkumpul di pusat orang ramai, dewan dan sebagainya atau dikreditkan terus ke akaun penerima. Bagi urusan pembayaran, pejabat daerah akan menguruskan,” kata beliau dalam catatan Facebook miliknya.
Beliau turut berpesan agar individu yang tercicir daripada menerima bantuan untuk merujuk pejabat daerah masing-masing bagi penyelesaian masalah.
SUMBER FOTO: FACEBOOK RASMI DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB